BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

20101102

CERPEN KARYA SULUNGKU



Aku Bukan Novelis
Namaku Ariq. Aku bukan novelis, aku bukan penulis, aku bukan pengkarya cerita-cerita cinta. Cinta? Apa tu? Sekolah, belajar dan cinta sekian lama dijadikan musuh dalam pemikiran masyarakat, lebih-lebih lagi mak dan ayah. Mungkin bagi mereka cinta tu membawa mudarat. Terlalu awal bagi mereka bercinta pada zaman belajar ataupun lebih tepat zaman sekolah.

Remaja dan cinta  sudah boleh aku ibaratkan macam asap dengan api. Selalunya memang akan ada asap bila ada api. Kalau sudah ada asap, tentu ada api. Berbalik pada kata-kata aku tadi. Memang aku bukan penulis cerita cinta, tetapi aku ada sebuah kisah cinta yang jauh lebih hebat daripada kisah cinta Jack dan Rose yang tidak pernah tenggelam bersama kapal Titanic, lebih gah daripada cinta Shah Jehan kepada Mumtaz sehingga terbina Taj Mahal, lebih agung daripada cinta Maharaja Asoka kepada gadis dari Kalingga yang mampu meredakan perang.

Bila aku pejamkan mata, aku rasakan semuanya seperti dahulu. Aku rindukan suasana yang dahulu.

Suatu pagi yang sejuk seolah-olah duri-duri tajam yang menusuk-nusuk tetulangku menyedarkan aku dari buaian mimpi. Alangkah nikmatnya sekiranya apa yang baru ku mimpikan tadi itu adalah kenyataan, pikirku sejenak. Geseran gigi-gigi mesin pada jam dinding masih jelas kedengaran seolah-olah mengalunkan kesunyian dinihariku. Jam baru sahaja mencecahkan jarumnya ke angka yang keempat menandakan pagi hampir menjelang.

Percubaan SPM terus menyelinap fikiranku seolah-olah pencuri yang menceroboh masuk. Kelopak mata yang tadi sukar dibuka kini seolah-olah disiram kesegaran akibat keresahan. Hari ini aku bakal menduduki kertas percubaan peperiksaan yang akan mencorakkan masa tuaku nanti.  Hari ini juga merupakan minggu kedua aku meneruskan persekolahan setelah berehat panjang selama empat bulan akibat kegilaanku pada sukan, aku lumpuh.

Mimpi yang aku telah lewatkan adalah mimpi aku untuk berjalan seperti sedia kala. Aku terpandang akan tongkat yang kini tersandar di sudut kanan katil bujangku. Tongkat besi yang menemani setiap langkah selama empat bulan kelmarin.

Kilauan pada tongkat besi yang sudah menjadi teman setiaku seolah-olah memaksaku untuk terus bangun dari kelalaian mimpi yang sekadar mainan tidur. Aku harus berpijak pada bumi yang nyata. Kini aku tidak lagi seperti remaja yang lain, aku mungkin akan cacat untuk sepanjang hayat. Jadi demi mengukir masa depan yang lebih cerah dan menjamin, tinggal cuma pelajaran yang dapat membantuku.

Aku bergegas bangun dari katil, seluruh urat sarafku seakan direntap kesakitan. Aku tidak lagi berdaya untuk menangis menahan kesakitan kerana sudah beratus hari aku menempuhi kesakitan ini. Bagiku air mata tidak akan membawa apa-apa kesembuhan padaku. Kelumpuhan yang aku alami adalah disebabkan keretakan pada tulang belakangku. Keperitan itu tidak cukup dan ditambah lagi apabila tulang belakangku turut beralih dari kedudukan asalnya. Sengsara yang aku alami tuhan saja yang tahu.

Tongkat yang menanti aku bangkit dari tidur ku gapai dan berganjak terus ke ruang dapur. Aku mengusap air ke wajahku yang masih mengantuk lalu ku ambil segelas air untuk menghilangkan dahaga. Kembali ke kamar tidur aku mencari nota yang telah aku salin menggunakan mesin fotokopi. Terima kasih Aquila kerana sudi meminjamkan aku notanya. Nota yang aku maksudkan adalah kertas peperiksaannya dalam subjek Bahasa Melayu. Sudah jauh aku tercicir, mungkin jalan ini dapat membantu aku. Tersenyum sendiri aku melihatkan tulisan si gadis putih seperti kapas yang begitu kemas dan menarik bentuk-bentuk hurufnya. Sudah lama aku menyimpan dan menyembunyikan perasaanku kepada gadis kelahiran bumi kenyalang itu.

Tahun ini merupakan tahun ke lima aku sekelas dengannya. Masa yang begitu panjang namun sedikit tidak pernah aku menunjukkan perasaanku kepadanya. Yalah, siapalah aku ini untuk bebuat begitu. Aku juga tidak percaya aku akan mempunyai seorang teman wanita memandangkan aku ini agak pemalu dan tidak pandai dalam pergaulan. Nota itu ku kaji dari awal hingga ke akhir, nota yang kini masih ku simpan sebagai kenangan.

Bermula disitulah hubungan kami bertambah erat dan mesra. Walaubagaimanapun semua orang membuat gosip liar terhadap aku dengan seorang sahabat Aquila. Sehingga sekarang aku tidak faham mengapa, sedangkan aku sama sekali tidak pernah memberi lampu hijau kepada gadis Kelantan itu. Tidak mudah bagiku untuk menyukai seseorang, apatah lagi jatuh cinta. Bagiku perasaan itu terlalu mahal dan aku letakkannya jauh dari sudut hatiku. Bak kata pepatah, berkawan biar beribu bercinta biar satu. Sejak dari pinjam-meminjam  nota, aku dan Aquila kini sudah mula belajar bersama semeja. Hubungan kami begitu intim sehinggakan rakan-rakan sekelas menyangkakan kami bercinta. Aquila dan aku hanyalah rakan belajar sahaja. Aku juga kini semakin sembuh setelah berpuluh-puluh kali menjalankan alternatif moden dan tradisional.

Gosipku dengan gadis Kelantan itu turut ditanyakan oleh Aquila kepadaku akan kebenarannya. Bagaimana mampu aku untuk menjawab pertanyaannya sedangkan jauh ku sembunyikan dalam hati perasaanku kepadanya. Aku tidak pasti adakah itu cinta. Perasaan yang tidak pernah sekali pun dalam muncul hidupku selama ini. Aku juga baru sahaja mengunjungi alam remaja dan aku pasti aku belum cukup layak untuk jatuh cinta.

Tidak seperti rakan-rakanku di sekolah, bercinta itu seolah-olah mereka letakkan sebagai kewajipan. Mereka sudah mula meniti hubungan-hubungan cinta seawal tingkatan satu sebaik sahaja menghabiskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Terlalu kelakar bagiku bercinta di usia begitu.

Suatu petang Jumaat bertarikh 11 Ogos 2006, aku dan Aquila berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).Kami berbual-bual dan pelbagai soalan dilontarkan olehnya kepadaku. Dia sudah berkali-kali bertanyakan padaku siapakah gadis yang aku minati, namun tidak pernah sekali pun aku mengendahkannya. Entah mengapa petang Jumaat itu aku begitu berani untuk menyatakan apa yang telah aku pendamkan begitu lama.

Aku menyatakan padanya bahawa aku meminatinya dan dia terdiam membisu tidak memberikan respon. Aku terketar-ketar ketakutan, seakan baru tersentak dari apa yang telah aku luahkan. Aku pasti akan menanggung malu yang sangat besar sekiranya dia menganggap negatif terhadap kata-kataku padanya.

Bagaikan tiada sabar lagi aku menanti. Aku mengirim satu lagi SMS padanya mengatakan “kenapa awak diam?” Beberapa minit kemudian telefon selularku berdering menandakan sebuah mesej telah diterima. Debaran didadaku umpama ombak dipukul angin. Respon yang diberikan tidaklah mengecewakan, dia memberi respon yang tidak seburuk aku sangkakan.

Dia cuma bertanyakan akan kebenaran kata-kataku. Sejak saat itulah kami bergaul lebih mesra dan aku meluahkan rasa hatiku sedikit demi sedikit kepadanya. Satu malam aku dengan penuh keyakinan meluahkan rasa padanya. Kali ini aku tidak lagi menggunakan istilah minat ataupun suka, aku mengatakan bahawa aku telah jatuh cinta padanya dan aku berhasrat untuk menjadikannya sebagai kekasih. Mungkin kami telah ditakdirkan untuk bercinta, dia menerima lamaran cintaku. Hubungan yang telah tercipta antara kami tidak menjadi intim dengan begitu pantas. Kami lebih berfokus pada pelajaran. Dia juga telah menyatakan padaku bahawa keluarganya melarang cinta di bangku sekolah.

Setelah menamatkan tingkatan lima dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami lebih kerap berhubung melalui SMS. Disitulah kisah cinta kami mula menjadi lebih serius. Aku juga telah menciptakannya sebuah lagu.

Andainya tersurat perpisahan,
Ku tak sanggup untuk meneruskan,
Perjuangan ini tanpamu sayang,
Di depan mata namun terasing jua,
Dengarkan pesananku ini,
Walau jauh namun kau dihati,
Takkan kau hilang di sanubari,
Kau yang pertama,
Tiada pengganti.
            Begitulah antara bait-bait indah yang ku ciptakan khas untuknya.

Mungkin telah tertulis perjalanan hubungan kami tidaklah mudah dan lancar. Satu petang aku begitu terpukul apabila mengetahui bahawa hubungan kami telah diketahui keluarganya. Aku tidak menyalahkan mereka kerana menghalang hubungan kami. Aku faham mereka hanya mahukan yang terbaik untuk Aquila. Mereka tak mahu pelajarannya terganggu hanya kerana hubungan yang belum jelas akan kekalnya. Aku sangat kagum akan keprihatinan mereka kepadanya. Namun tidak dapat aku sangkalkan jauh  di sudut hati kecilku, aku sangat menginginkan restu daripada mereka.

Aku percaya dan faham bahawa mereka akan merestui hubungan kami sekiranya kami telah berjaya dalam pelajaran dan hidup kami. Usia kami masih terlalu muda, perjalanan kami masih lagi jauh untuk ditempuhi. Aku dan dia bertekad untuk mengejar dan mendahulukan masa depan terlebih dahulu. Setelah berjaya kami berdua akan bertemu semula dan menjalinkan hubungan sebagai sepasang kekasih.

Aku terkaku apabila aku dikhabarkan dengan satu berita yang sangat melukakan hati dan perasaanku. Keluarga Aquila telah merancang untuk menghantarnya belajar ke Sarawak. Tindakan itu diambil untuk mengelakkan aku dan dia terus berhubung. Telefon bimbitnya juga tidak lagi dapat ku hubungi. Hanya ada satu sahaja lagi cara untukku bertemu dengannya buat   kali yang terakhir iaitu ketika keputusan SPM dikeluarkan.

Hari keputusan tiba. Aku menanggung dua debaran dalam hati. Aku akan mendapat keputusan yang bakal menentukan masa depanku dan juga aku tidak sabar untuk bertemu dengan Aquila. Alhamdulillah aku mendapat keputusan yang agak baik, namun aku tidak melihat lagi kelibat Aquila. Aku menunggu dan terus menunggu. Setelah lelah aku berdiri, aku pun duduk di sebuah wakaf berhadapan pejabat pentadbiran.

Tidak lama. Aku terlihat Aquila berjalan menuju ke arahku bersama sehelai slip keputusan dan terukir senyuman di wajahnya. Seperti yang ku jangkakan dia mendapat keputusan yang sangat baik. Aquila menyatakan maaf padaku kerana tidak lagi menghubungiku. Tidak ada yang lebih penting berbanding pertemuan pada hari itu. Sebelum berpisah, aku dan Aquila telah membuat satu janji. Cinta kami hanya akan mendapat restu jika satu hari nanti kami bersama berjaya dalam kehidupan. Keluarganya mahukan kami mengejar cita-cita dahulu sebelum mengejar cinta. Kami juga berjanji sekiranya kami berjaya, kami akan meraikan hubungan kami di kota tercantik di dunia bersaksikan menara Eiffel. Aquila melangkah meninggalkan aku. Itulah hari terakhir aku melihatnya.

Lapan tahun sudah berlalu. Hari ini merupakan hari yang aku tunggu-tunggu. Aku kini telah berjaya mengukir kehidupan yang jauh lebih baik. Hari ini aku akan ke rumah keluarga Aquila memandu kereta idamannya Mini Cooper. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, cuma mahu menuntut janji yang telah terbina lapan tahun yang lalu.  Walaupun sudah bertahun-tahun terputus hubungan dengan Aquila, laman social di internet menemukan kami semula. Kami berjumpa semula di laman ‘Facebook’ dan di disitulah ku tahu alamat rumahnya. Dia turut memberitahuku bahawa dia akan pulang ke rumah sementara bercuti daripada kerja. Dia kini bergelar seorang jurutera berstatus insenior dan aku tidak kurang hebatnya, aku kini seorang kontraktor dan seorang usahawan muda.

Kedatanganku hari ini tidaklah ku khabarkan padanya. Aku cuma mahu buat kejutan padanya. Kira-kira lima jam perjalanan, aku pun tiba di taman perumahannya. Kelihatan begitu banyak kereta-kereta di hadapan rumahnya. Aku tertanya-tanya mengapa. Setelah aku meletakkan keretaku, aku bertanyakan kepada seorang jejaka yang berada di luar pekarangan rumah. Alangkah tertikamnya hatiku apabila mendengar jawabnya. Rupa-rupanya kepulangan Aquila ke rumahnya hanya untuk menyambut pinangan seorang jejaka yang ku tak tahu akan identitinya.

Bagaikan kaca terhempas ke batu, hatiku hancur. Tidak sanggup lagi aku untuk terus berada di situ, segera ku tinggalkan diri membawa hati dan harapan yang kini tidak lagi akan terbayar. Dalam perjalanan aku pulang ke rumah, ekor mataku terpandang akan dua keping tiket ke Paris yang telah aku tempah untuk kami berdua ke menara Eiffel. Secara spontan aku terfikir untuk membawa hatiku ke Paris. Setibanya aku di rumah, aku terus merebahkan badan dan aku tidak lagi sedar setelah itu.

Apabila aku terjaga, hari telah pagi. Sinaran mentari menyilaukan mataku dan tak mampu aku membukanya. Aku terduduk di kaki katil, seakan mengharapkan apa yang terjadi semalam hanyalah mimpi. Namun aku harus akur itulah realiti. Setelah membersihkan badan, aku mengambil sarapan. Aku terlihat gambar ayah dan  ibu dan keluargaku. Seperti tidak aku letakkan mereka di tempat yang sewajarnya. Selama ini aku hanya pentingkan kerjaya dan cinta yang kini aku dihukum olehnya. Aku tidak menyesal atas apa yang terjadi, aku bersyukur kerana kini aku telah berjaya dalam kehidupan hasil usaha kerasku dalam pelajaran.

Telefonku berdering. Aku bergegas ke ruang tamu dimana telefon bimbitku diletakkan. Ternyata panggilan dari adikku Amin yang tinggal bersama ibu dan ayah. Amin menyatakan bahawa ibu dan ayah telah mengalami kemalangan dalam perjalanan ke rumah saudara. Ya Allah apa lagi dugaan kau berikan padaku. Segera aku ke hospital daerah untuk melawat ibu dan ayah. Ibu dan ayah terlantar menahan kesakitan. Air mataku mengalir tanpa aku sedari. Aku memohon ampun kepada ibu dan ayahku. Tidak lama setelah aku bertemu dengan mereka, mereka dipanggil menghadap tuhan. Sekali lagi aku berasa kehilangan.

Jenazah ayah dan ibu kini telah disempurnakan. Ku tinggalkan makam dengan penuh kesuraman, membawa hati yang kini hilang nyawa dan ceria. Aku tetap memutuskan untuk membawa diri ke Paris minggu hadapan, cuba meninggalkan segala kepahitan.

Hari berlalu demi hari. Persiapan ke Paris sudah sempurna. Perniagaanku telah aku amanahkan sementara kepada penolongku. Aku terbang ke Paris untuk menenangkan hati. Setibanya aku di Paris, aku menginap di sebuah hotel berhampiran menara Eiffel. Keesokkan harinya aku menjejakkan kakiku buat pertama kalinya di menara Eiffel. Tanpa ku sedari, kenangan Aquila menyelinap fikiranku serta-merta. Sukar untukku melupakan dirinya. Aku akan berada di Paris selama seminggu dan hari ini merupakan hari keduaku di sini. Aku bertekad untuk berada di menara Eiffel setiap petang selama aku di sini. Petang hari ke lima aku di sini, masih aku berada di menara Eiffel. Melihat kota Paris dari atas menara kebanggaan penduduknya. Sudah terkenal seantero dunia dan menjadi idaman pasangan kekasih untuk bercinta di puncaknya.

Sedang asyik aku menikmati permandangan, aku terdengar alunan lagu Melayu seorang wanita. Bait-bait lagu itu seakan ku tahu asal-usulnya. Sayup ku terdengar,
 “Walau jauh namun kau dihati,
Takkan kau hilang di sanubari,
Kau yang pertama,
Tiada pengganti”

Tidak salah lagi, itulah lagu yang ku tuliskan untuk Aquila lapan tahun yang lalu. Aku seolah-olah hilang pertimbangan, aku tercari-cari punca suara itu. Ku lihat kiri dan kanan namun tidak ku temu pemilik suara tersebut. Aku kecewa, mungkin aku terlalu memikirkannya hingga segala kenangan bersamanya muncul.

Tiba-tiba bahuku disapa dari belakang. Alangkah tergamamnya aku disitu, seorang wanita yang sangat aku cintai berada di hadapanku. “Awak sihat, Ariq?” tidak mampu dan terkelu lidahku untuk menjawabnya. Aquila berada di hadapanku di puncak menara Eiffel. “Ma…ma…macamana Aquila…” aku tergagap untuk menanyakan bagaimana dia berada di situ.

Aquila menyatakan padaku bahawa pinangan tersebut tidaklah diketahuinya dan telah pun ditolak. Dia tersenyum dan mengatakan bahawa dia tidak pernah mungkir janji. Masakan janji, lirik lagu yang ku tuliskan untuknya pun masih diingatnya walaupun lapan tahun telah berlalu.

Kami berbual panjang dan senyuman seolah-olah terukir di wajahku menandakan hidupku kembali mewarna. Senja kian berlabuh, kami pulang ke hotel masing-masing. Malam itu kami makan dan menghabiskan masa bersama. Aku menceritakan semuanya kepada Aquila akan kedatanganku ke rumahnya dan pemergian kedua ibu dan ayahku. Aquila mengucapkan takziah kepada aku dan keluarga. Seolah-olah mahu mengembalikan keceriaanku, Aquila mengatakan bahawa keluarganya menunggu kehadiranku untuk menjadi ahli keluarga.

Lusa kami akan pulang bersama ke tanah air dan bercadang untuk menikah. Namun jauh di sudut hati, teringin rasanya aku meraikan semua ini bersama ibu dan ayah di sisi. Semoga arwah aman di alam betemu ilahi, doa anakmu sentiasa ku kirimkan.

Tibalah hari untuk kami pulang bersama ke tanah air. Kami pulang ke rumah masing-masing dan kami akan memberitahu kepada ahli keluarga bahawa kami akan menikah. Setelah persetujuan kedua-dua belah keluarga diperolehi, kami bertunang selama sebulan sebelum menaiki pelamin. Aku berasa sangat gembira hingga tak dapat ku gambarkan dengan kata-kata. Aku menanti detik-detik untuk kami bergelar sebagai suami dan isteri. Bagaikan terlalu lambat masa berlalu, setiap kali aku bangun dari tidur aku menanti-nantikan datangnya pagi esok.

Walaupun jarak memisahkan kami, namun sedikit pun tidak menghalang keintiman hubungan kami. Kami sentiasa berhubung, telefon bimbitku bagaikan tidak sanggup lagi untuk berdering menerima panggilan dan juga SMS. Dari celik mata hingga terlelap mata aku memikirkan dia, aku benar-benar dilamun cinta.

Kini, majlis persandingan kami berbaki seminggu. Segala pesiapan hampir sempurna. Mengikut adat orang Melayu, persandingan akan dijalankan di rumah pengantin perempuan terlebih dahulu dan akad nikah juga akan dilakukan disana. Jadi aku sekeluarga berkampung di rumah keluarga Aquila.

Pagi Isnin kami semua bersama-sama menyiapkan persiapan persandingan yang akan dijalankan pada Ahad ini. Aku dan Aquila berjumpa dengan pengurus perjalanan majlis persandingan kami. Kami menerangkan kepadanya sepertimana majlis yang kami mahukan. Seterusnya kami ke Bridal Shop untuk melihat tempahan pakaian pengantin kami.

Setelah cuba mengenakan pakaian-pakaian yang bakal kami gunakan di majlis persandingan kami nanti, kami bercadang untuk makan tengah hari di restoran Singgah Selalu. Setelah meletakkan kereta di bahu jalan, Aquila melintas jalan terlebih dahulu dariku. Namun beg tangannya tertinggal di kereta. Malang tak berbau, menyedari beg tangannya tertinggal Aquila dengan tanpa berfikir panjang berlari menuju ke kereta dan aku tidak tahu apa yang terjadi melainkan aku terdengar bunyi dentuman yang begitu kuat. Aku menoleh ke jalan raya, yang aku lihat hanya sekujur jasad bermandikan darah terbaring kaku.

Aku berlari mendapatkan Aquila, jasadnya ku dakap. Aku memanggil namanya. Namun dia tidak sedarkan diri. Segera ku dukung dan baringkan dia di ruangan penumpang keretaku. Aku langsung tidak pedulikan siapa yang melanggarnya, yang penting sekarang nyawa Aquila harus segera aku selamatkan. Aku memandu dengan sangat laju, aku tidak mahu kehilangan orang yang aku sayangi sepertimana aku kehilangan ibu dan ayahku. Takkan ku benarkan lagi jalan raya meragut nyawa insan-insan yang aku cintai.

Sebaik sahaja tiba di hospital, aku menjerit meminta pertolongan daripada kakitangan hospital. Aku turut basah dengan darah semasa aku mengangkat Aquila ke dalam kereta. Aquila dibawa ke unit kecemasan dan diberi rawatan. Tersandar aku ke dinding. Tidak dapat ku tahan lagi risauku akan keselamatan Aquila. Aku menghubungi keluargaku dan juga keluarga Aquila, alangkah terkejutnya mereka mendengar khabar dariku. Setelah hampir satu jam, ahli keluarga sampai di hospital. Mereka bertanyakan kepadaku keadaan Aquila. Aku turut menunggu untuk mengetahui kondisi Aquila daripada doktor setelah dua jam Aquila berada di wad kecemasan.

Beberapa jam setelah itu, doktor keluar dengan air mukanya penuh kecelaruan membuatkan kami semua terdiam menunggu jawapan. Menurut doktor Aquila akan mengalami kecacatan kekal, saraf tunjangnya telah tercedera dan akan menyebabkannya lumpuh separuh badan seumur hidup. Aku tergamam, aku tidak sedarkan diri setelah itu. Aku tersedar dan berada di atas katil hospital, ibu kepada Aquila memberitahuku bahawa aku telah jatuh pengsan. Terus ku tanyakan bagaimana cara untuk menyelamatkan Aquila. Ibu Aquila menyampaikan apa yang telah dinyatakan oleh doktor kepadanya. Tidak ada harapan untuk menyembuhkan Aquila.

Setelah Aquila sedarkan diri, aku menemuinya. Aku sangat tersentuh apabila dia mengatakan ketelusan hatinya untuk merelakan aku berkahwin dengan wanita lain. Dia tidak mahu membebankan aku jika aku tetap mengahwininya. Dia juga sedar yang dia tidak akan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan memberiku keturunan.

Apalah erti cinta tanpa pengorbanan, apalah ertinya sayang tanpa air mata. Aku tetap mengahwini Aquila setelah dia keluar dari hospital. Bagiku cinta itu adalah kebersamaan, tidak kira susah mahupun senang. Aku bahagia bersama Aquila walaupun setiap pagi aku akan bangun awal memandikannya, menyediakan makanan dan bersiap ke tempat kerja. Aku bahagia kerana sekurang-kurangnya aku masih ada insan yang aku cinta.

Begitulah kisah hidupku bersama keluargaku dan juga Aquila. Kisah cinta kami jauh lebih hebat dari kisah cinta yang agung dan kisah cinta yang pernah difilemkan.  Hidup ini sesungguhnya pendidikan yang paling berharga. Janganlah terlalu gembira jika menerima suka, dan janganlah terlalu bersedih jika menerima duka. Semua itu hanyalah asam garam yang bertujuan mendidik manusia untuk menjadi lebih matang. Hidup juga adalah persinggahan sementara sebelum menemui tuhan sang pencipta. Tidaklah tuhan menjadikan sesuatu itu hanya sia-sia. Jika dapat ku ceritakan kisah hidupku ini kepada semua, aku sangat berbesar hati. Malangnya aku bukan novelis.